headerphoto

Credit to berita harian

published on 4 Dis 2009

Ringkas, glamor

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my




Kepingan aluminium penghias blaus ala jubah, tudung serlah gaya kontemporari

SUKAR mendapatkan pakaian Muslimah sesuai untuk menghadiri majlis formal atau kontemporari, menjadi pemangkin dua sahabat Nurul Azwin dan Farrah Adeeba menghasilkan label sendiri - Najjah.

Himpunan pakaian di Najjah agak menarik kerana walaupun fesyen Muslimah yang menutup aurat, gaya potongan dan ronanya cukup mesra kepada pengguna. Blaus ala jubah contohnya mempunyai bukaan pada bahagian depan membolehkan ia digayakan bersama skirt atau celana pada bahagian dalam.

Sekiranya ingin tampil ringkas, tudung mudah sarung adalah pilihan paling tepat, bagaimanapun sekiranya inginkan gaya lebih glamor, padanan tudung bawal bersama hiasan batu serta kepingan aluminium berkilat boleh mengubah penampilan itu dengan pantas.

Praktikal dan mudah digayakan menjadi prinsip diketengahkan. Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang fesyen, minat dan keinginan mendorong mereka memerah otak dan menghasilkan persalinan daripada fabrik selesa serta mudah diselaras untuk ke pelbagai acara daripada santai ke glamor.

Gaya mudah sarung yang dipopularkan daripada Indonesia pula kurang mereka gemari kerana yakin Malaysia mempunyai gaya tudung yang boleh dikomersialkan.

NAJJAH tawar baju polos berwarna terang kerana ia memberi ilusi wajah tampak lebih muda dan ceria. Anak tudung boleh digayakan beberapa lapis untuk gaya berbeza.

Awin berkata, pada peringkat permulaan, beliau merasakan mustahil dapat menjual pakaian sedemikian, tetapi apabila menerima maklum balas positif daripada kenalan, mereka memutuskan untuk mengusahakan perniagaan busana Muslimah itu secara lebih serius.

Buat permulaan, mereka menjualnya menerusi laman Najjah.com yang membawa erti kejayaan.

“Saya memulakan teknik pemasaran menerusi pakai sendiri, sama ada tudung atau baju. Apabila orang menegur apa yang saya gayakan cantik, maka saya akan membuka bicara ia hasil rekaan kami berdua. Apabila ramai yang kata cantik dan selesa, kami pun mengambil keputusan untuk berkongsi dengan wanita lain.

“Gaya anak tudung mudah sarung kami pula tidak memerlukan sebarang pin sebaliknya boleh dipakai begitu saja. Kami memilih menghasilkan banyak warna, oleh itu wanita akan seronok mengenakan pelbagai rona. Begitu juga dengan tudung. Selain jenis mudah sarung, kami juga mempunyai tudung jenis bawal.

RINGKAS untuk bergaya di pejabat.

“Apa yang membezakan antara tudung bawal di pasaran ialah perhiasannya di tepinya. Potongan melengkok setiap bucu tudung pula menjadikan ia jatuh cantik pada badan,” katanya yang melakukan pelbagai ‘uji kaji’ sebelum berani menjualnya kepada orang ramai.

Lulusan ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal ini sudah hampir tujuh tahun berkhidmat sebagai jurusolek sepenuh masa dan mempunyai laman solek ‘www.seindahwajah.com’. Walaupun ‘beralih arah' daripada bidang kejuruteraan, beliau menemui kepuasan pada bidang solekan, lalu melebarkan sayap di dalam aliran fesyen.

Katanya, solekan akan nampak lebih cantik dengan berpakaian menarik. Kelebihan juga bagi Farrah Adeeba apabila apa yang digayakan termasuk ketika muncul di kaca televisyen, ramai yang gemarkan gaya tudungnya itu. Namun, beliau akui mereka berusaha keras, daripada memilih fabrik, mereka hinggalah ke memasarkan.

“Mungkin ada orang kata kalau letak Farrah sebagai model, barangan akan mudah terjual, tetapi hakikatnya tidak sebegitu. Sebaliknya kami berdua mengusahakannya daripada melakar, memilih fabrik dan menjahit sendiri pada peringkat permulaan. Kami mengambil masa agak lama sebab bila cuba dan rasa tidak selesa, kami akan tukar hinggalah kami rasa berpuas hati,” katanya.

Farrah yang kini tidak lagi terikat dengan mana-mana stesen televisyen, adalah perantara program ‘Cari Menantu’. Beliau kini fokus kepada firma guaman suami, selain pengacara bebas ‘Nasi Lemak Kopi O’ terbitan TV9.

Mengulas mengenai pakaian yang dihasilkan praktikal dan mudah disuai padan, Farrah berkata ia bertepatan dengan matlamat yang diingini.

“Minat terhadap fesyen sudah sebati. Apabila membeli pakaian siap kadangkala ia tidak memenuhi selera. Kalau ada pun kadangkala harganya terlalu mahal. Oleh itu saya mula melakar ‘rupa’ pakaian yang saya ingini.

“Gaun putih ini umpamanya, ia sebenarnya boleh digayakan bersama jeans kerana ia terbuka pada bahagian depan. Begitu dengan gaun pendek merah jambu ini, ia boleh diselaras dengan pelbagai gaya diingini. Seronok mengenai pakaian dan tudung Najjah kerana kita boleh bereksperimen dengan warna serta gaya. Tidak keterlaluan dikatakan ia berbaloi untuk dimiliki,” katanya.

INFO
Bergaya anggun dan sopan

  • Pakaian Muslimah bukan saja perlu menutup aurat, sebaliknya berpotongan longgar, tidak jarang, tetapi selesa untuk pakaian mahupun seluar.
  • Sekiranya memakai baju agak jarang, wanita boleh memakai pakaian dalam atau 'inner' kerana ia lebih sopan.
  • Menggayakan pakaian berwarna terang dan tudung berhias, memberikan kelebihan apabila tidak perlu tambahan aksesori seperti gelang atau rantai.
  • Penggayaan tudung seharusnya tidak keterlaluan untuk acara siang atau ke pejabat, sebaliknya sekiranya perlu menghadiri majlis malam, cukup sekadar mengenakan tudung bawal atau sifon dengan perincian berkilat di bahagian tepinya.
  •